PUTRAJAYA,
26 Ogos – Aman Palestin Berhad mengumumkan pelancaran Tabung Dana
Pemulihan dan Pembangunan Semula Gaza dengan sasaran kutipan RM50 juta
dalam Himpunan Solidariti Ummah pada 13 September ini.
Ketua
Pengawai Eksekutif Aman Palestin, Ustaz Awang Suffian Awang Piut
berkata, jika sebelum ini kita telah melancarkan tabung kecemasan Gaza,
kini kita beralih kepada bantuan membangunkan semula Gaza.
Dana tabung ini akan disalurkan untuk membangunkan semula Gaza yang hancur akibat kekejaman Israel.
Tambah beliau, setakat ini, kos yang diperlukan sangat tinggi.
“PBB telah
mengumumkan kos sementara yang diperlukan adalah hampir 410 juta dan
jumlah keseluruhan pasti jumlahnya berbillion ringgit.
“Maka dengan ini Aman Palestin akan melancarkan tabung ini di Himpunan Solidariti Ummah.
“Kita
sangat mengharapkan seluruh rakyat Malaysia termasuk badan-badan
korporat akan turut memberikan kerjasama memberikan sumbangan,” ujar
Ustaz Awang.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Hotel Everly di sini pagi tadi.
Katanya,
penganjuran Himpunan Solidariti Ummah secara besar-besaran di Stadium
Tertutup Nilai, Negeri Sembilan pada 13 September ini menyasarkan 20
ribu penyertaan rakyat Malaysia.
“Himpunan
ini sebagai platform utama kepada rakyat Malaysia untuk menyuarakan
kemarahan dan bantahan mereka terhadap kekejaman Israel ke atas Gaza,”
ujar beliau.
Sumber: Laman Web ISMA