Selasa, 24 Mac 2015

Umat Islam Pattani derma untuk tabung Gaza

KEPALA BATAS 3 Sept. - Penderitaan rakyat Palestin mendapat perhatian umat Islam di Wilayah Pattani, Thailand untuk menderma bagi mengisi tabung Gaza, Aman Palestin.

Ini berikutan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani memberikan sumbangan berjumlah RM112,000 yang dikutip di lebih 670 buah masjid di wilayah berkenaan.

Timbalan Yang Dipertua majlis itu, Dr. Ahmad Kamil Waenuso berkata, sumbangan kepada Gaza melalui Aman Palestin itu kerana masyarakat Islam Pattani yakin terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit.

Beliau berkata, kebanyakan tabung yang dikutip di Thailand untuk disalurkan ke Gaza tidak diketahui siapa penerimanya.

"Justeru itu, kami yakin dengan NGO ini (Aman Palestin) kerana sudah terbukti telah menyalurkan sumbangan umat Islam kepada rakyat Palestin," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Dana Pemulihan dan Pembangunan Gaza kepada Pengerusi Aman Palestin Pulau Pinang, Hamidi Abu Hassan di sini.

Ahmad berkata, pihaknya telah mengarahkan masjid di wilayah itu untuk mengutip dana tersebut sejak awal Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Sumbangan yang diberikan ini atas kesedaran umat Islam Pattani bagi membantu umat Islam di Gaza yang menderita akibat peperangan.

"Walaupun Pattani juga bergolak, tetapi demi membantu umat Islam di Gaza, kami sedia membantu meringankan penderitaan mereka," katanya.

Sementara itu, Hamidi berkata, bantuan yang diberikan ini amat berharga kepada rakyat di Gaza dalam membantu umat Islam di sana.

"Amanah yang diberikan kepada Aman Palestin ini akan membolehkan bantuan tersebut disalurkan bagi kegunaan rakyat Palestin," katanya.

Sementara itu, Pengurus Aman Palestin Bhd., Pulau Pinang, Budiyanto Unggun berkata, pihaknya telah menyalurkan sebanyak RM2.5 juta daripada RM3 juta sumbangan yang diterima bagi pembangunan Palestin.

Menurut beliau, pihaknya juga akan melancarkan tabung berkenaan dengan sasaran RM50 juta sehingga Jun 2015.

Katanya, tabung itu akan dilancarkan sempena Himpunan Solidariti membabitkan 20,000 rakyat negara ini pada 13 September ini di Seremban, Negeri Sembilan.

Budiyanto berkata, hasil kutipan tabung tersebut akan digunakan untuk pembangunan hospital, sekolah, masjid, kawasan pertanian dan sebagainya yang musnah akibat peperangan.