Selasa, 24 Mac 2015

Aman Palestin sasar kutipan 50 juta ringgit untuk bangun semula Gaza

 
NILAI, 13 Sept – Aman Palestin Berhad menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk tampil menyalurkan bantuan bagi membangunkan semula kehidupan rakyat Gaza selepas musnah teruk dalam serangan zionis baru-baru ini.

Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, seluruh rakyat Malaysia terutamanya syarikat-syarikat korporat dialu-alukan untuk memberikan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat Palestin.

“Kita mensasarkan jumlah kutipan RM50 juta bagi tabung ini.

“Dana yang terkumpul akan disalurkan kepada projek-projek yang meransang semula sumber pendapatan Gaza termasuk sektor pertanian, sumber manusia, pembangunan sosial, perubatan, infranstruktur dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu sidang media di Stadium Tertutup Nilai malam tadi.

Tambah Ustaz Abdullah, berdasarkan kajian yang dilakukan pihak berkuasa Palestin menunjukkan kerja-kerja membangun semula Gaza memerlukan kos sebanyak RM24.9 billion.

Namun begitu, keperluan paling mendesak waktu ini ialah membaiki semula stesen janakuasa elektrik dan memulihkan insfranstruktur seperti perumahan, jalanraya, sekolah, jambatan dan klinik kesihatan.

“Dalam masa yang sama, Gaza juga memerlukan dana untuk bantuan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

“Keadaan ini menjadikan Gaza sangat bergantung kepada bantuan antarabangsa lebih-lebih lagi untuk pulih selepas serangan zionis,” ujar beliau.

Untuk itu, malam ini Aman Palestin telah melancarkan Tabung Dana Pemulihan dan Pembangunan Semula Gaza dengan sasaran kutipan RM50 juta sempena Himpunan Solidariti Ummah.

Majlis perasmian tersebut telah dirasmikan oleh Penasihat ‘Bulan Kemarahan Ummah’, Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan.

Sumber: Laman Web ISMA