Selasa, 24 Mac 2015

Aman Palestin P Pinang sasar kutip RM300,000

KEPALA BATAS - Aman Palestin Berhad cawangan Pulau Pinang melancarkan Tabung Kecemasan Gaza 2014 dengan sasaran kutipan sebanyak RM300,000 sepanjang bulan Ramadan ini bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Pengurusnya Budiyanto Unggun berkata wang kutipan itu akan disalur dalam bentuk ubat-ubatan, makanan, pakaian dan beberapa barangan yang diperlukan ketika ini.

"Kami merayu kepada individu, tokoh korporat dan syarikat agar dapat menyalurkan sumbangan ke tabung berkenaan untuk membantu rakyat Palestin terutama di Tebing Barat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan  tabung itu di sini hari ini.

Beliau turut mencadangan agar masjid, agensi kerajaan dan swasta di Pulau Pinang mengadakan kutipan kilat Jumaat ini dalam usaha membantu rakyat Palestin.

"Sumbangan terkumpul itu akan disalurkan secara terus ke Pejabat Aman Palestin di Gaza dan pegawai-pegawai di sana akan melaksanakan tanggungjawab mengagihkan sumbangan itu kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Budiyanto berkata pihaknya juga menyeru semua masjid untuk mengadakan khutbah Jumaat berkaitan perang di Palestin dan solat hajat bagi memohon kepada Allah agar rakyat Palestin diberi kekuatan menghadapi perang yang dahsyat itu.

"Selain itu kami menggesa kerajaan Malaysia melalui kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenakan tekanan politik ke atas kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur agar Israel menghentikan serangan terhadap Gaza dengan serta merta sebelum jumlah kematian dan kecederaan meningkat lebih banyak.

"Kami juga mendesak pihak kerajaan mengenakan tekanan politik ke atas kerajaan Mesir melalui kedutaannya di Kuala Lumpur agar segera membuka pintu sempadan Rafah dan memberikan laluan kepada bantuan kemanusiaan dari luar memasuki Gaza dengan kadar segera," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkan menerusi akuan Aman Palestin Berhad iaitu di akaun Maybank 562263010787, Bank Islam (12029010047880), Bank Muamalat (12070005133717), Bank RHB (21245760004907) dan Bank CIMB (8600460353).
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini di laman web www.amanpalestin.net atau di laman facebook rasmi www.facebook.com/AmanPalestinOfficial. - Bernama

Sumber: Laman Web Sinar Harian